Sibuk, alasan normal yang aku beri bila jarang sekali mengemaskini blog ini.Sibuk dengan kerja, namun aku masih bersyukur, aku mengenal diri dan peribadi dalam kesibukan ini. Dalam masa beginilah, terserlah sifat diri, bahkan rakan yang dahulunya bergelak tawa bersama. Benarlah, kita belum mengenal peribadi seseorang, melainkan apabila kita punya sesuatu urusan dengannya. Terserlah bagaimana peribadi aku dan mereka.
Aku mengenal akan rakan yang belum punya peribadi yang cerdik. Masih berkira-kira dengan kerja yang diberikan. Aku masih lagi percaya, bahawa andai kita ditaklif dengan kerja yang lebih, mungkin itu sebagai kifarah kepada amanah yang diperolehi sebelum-sebelum ini, yang tidak cukup 100% kita laksanakan.
Kata Buya Hamka, “Negara dan bangsa yang merdeka, menumbuhka kemerdekaan peribadi juga. Orang yang menerima pembahagian pekerjaannya dengan rela. Biar dia menjadi seorang pembawa teksi, penarik beca atau penjual sayur tidak dirasainya ada manusia menekannya. Segala kewajipan itu akan dilaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Dia yakin bahawasanya pekerjaan yang lain tidak akan selesai, sekiranya pekerjaannya tidak selesai. Dia adalah anggota dari satu bangsa besar, dan kumpulan segenap peribadi itulah yang menjelmakan peribadi bangsa.” (Peribadi – HAMKA)
Semakin terserlah akan peribadi beberapa rakan. Yang tidak tenang akan tindakku. Beberapa patah perkataan di Muka Buku, terus ditafsir mengikut fahaman masing-masing. Peribadi tenang mereka yang belum cukup terbina. Usah kata orang, aku juga sama. Kadang terasa berang bila ternampak kezaliman didepan mata. Nah, disini sifat lalang komuniti kami terserlah. Bukan saja mereka, bahkan aku juga. Sikap lalang yang bagiku muncul kerana tidak mahu menyakitkan hati mereka yang berada disekeliling. Walhal mereka juga yang menzalimi, dan cuba memadam kezaliman yang mereka lakukan.
Teringat kata Boonaa,”Loving without thinking is like shooting without aiming.” Disini percaturan aku turut salah, seperti lalang-lalang yang lain. Peribadi kontang yang harus disuburkan.
Sempat singgah kerumah seorang Permata Hati. Nah, peribadi dirumah memang tidak sama langsung dari di sekolah. Nyata mereka semua adalah permata, hanya aku yang buta. Selalu memaksa mereka untuk faham, faham dan faham!
Sabar untuk menjadi murabbi, harus diistiqamahkan. Bukan hanya sekali, tetapi selalu-selalu.
Sibuknya aku, terasa seakan derita menghimpit kita. Walhal, kata Nur Amina,”Semakin derita menghimpit kita, semakin dekat amal dengan kita.” Jadi harus pejam mata dan cuba apa saja. =)
p/s:
Tidaklah terlalu tertekan, cuma saja meluahkan rasa menyampah kepada mereka. (Nah, bila aku katakan begini, pasti banyak telahan. Tahniah jika kamu bukan seorang yang tegar dalam membuat kesimpulan awal. Kerana aku benci itu.)
Sekian. Perlu pergi dulu, ada yang memanggil.
Like this:
Be the first to like this post.